Thursday, April 26, 2012

Kebergantungan kepada Allah

taken from this blog.. http://diaridakwah.wordpress.com/

Kebergantungan kepada Allah
Kita seringkali takut dan gusar dengan sesuatu perkara yang akan terjadi di masa depan sehinggakan kita kadang-kala menjadi murung ataupun sedih memikirkan pelbagai kemungkinan yang buruk yang mungkin berlaku pada nasib diri kita. Ada orang yang risau tentang nasibnya dalam pelajaran samada dia mampu mendapatkan segulung ijazah ataupun tidak. Risau sekiranya dia mungkin gagal dan tidak mendapat pekerjaan yang baik nanti. Ada yang risau bentuk perkahwinannya nanti bagaimana. Siapakah calonnya? Apakah rumahtangga yang bakal dibina itu akan bahagia atau sebaliknya? Semuanya itu membuatkan kita berasa sesak dan sempit sedangkan masih banyak lagi perkara yang sedang berlaku dalam kehidupan kita untuk kita uruskan pada waktu  dan saat ini.
Oleh itu, serahkan lah urusan hidup kita hanya kepada Allah swt kerana Dia lah pemilik jiwa dan kehidupan kita. Segala ketetapan Nya pastinya yang terbaik untuk kita samada kita dapat melihat kebaikan itu mahupun tidak. Yakinlah bahawa urusan rezeki, jodoh dan ajal kita sudahpun ditetapkan oleh Allah swt. Bagaimana pun jalan cerita yang bakal terjadi dalam kehidupan kita ini, semuanya itu tidak akan berubah kerana telah ditetapkan. Walaupun seluruh dunia dan isinya ingin memiskinkan kita, mereka tidak akan mampu sekiranya rezeki itu Allah swt tetapkan untuk kita. Jadi, mengapa perlu risau dengan semua itu? Mengapa perlu bersangka buruk kepada Allah swt? Yang paling penting adalah untuk kita mensyukuri segala nikmat yang telah diberikan dan menghargai setiap saaat daripada kehidupan yang sedang kita jalani ini. Janganlah kerana risaukan perkara-perkara yang akan terjadi di masa depan itu mengganggu kebahagiaan hidup yang sepatutnya kita miliki ini.
Kita serahkan lah semuanya kembali kepada Allah swt. Nak lulus exam, nak dapat kerja, nak kehidupan yang bahagia, nak siapkan coursework, nak menang main bola, nak memujuk orang, nak dapat hidayah, nak jadi baik, nak masuk syurga etc…..semuanya kita bergantung 100% hanya pada Allah swt! Sentiasalah bersangka baik kepada Allah swt kerana salah satu sifat-Nya ialah Maha Suci, yang bermakna suci dari sebarang sifat-sifat yang buruk. Jadi, segala yang terjadi kepada kita nanti semuanya adalah yang terbaik menurut ketetapan Allah swt. Bila hati kita sentiasa bersangka baik dengan setiap hal yang berlaku, barulah hidup akan bahagia dan tenang selalu.
“Sungguh mengagumkan urusan orang mukmin itu, setiap urusannya adalah baik. Tidaklah ini berlaku melainkan hanya kepada orang mukmin, jika dia mendapat sesuatu yang menggembirakan, dia bersyukur maka itu baik baginya. Dan jika dia ditimpa kesusahan dia bersabar, maka itu juga baik baginya.” (Diriwayatkan oleh Muslim)
Jadi, janganlah bersedih lagi. Manfaatkan kehidupan sebaiknya. Sentiasa positif dengan hidup, insyaallah kejayaan menanti kita!